mutakhir

Miliki dadah, hukum penjara 5 tahun, 10 sebatan

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas pemandu perkhidmatan e-hailing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana memiliki 39.5 gram dadah jenis methamphetamine.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas B. Nivaash Kumar, 28, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 18 Julai 2019.

Lelaki itu didakwa memiliki dadah tersebut di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini, pada 12.45 pagi, 18 Julai 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diboleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana dadah adalah musuh negara.

Peguam Joseph Iruthayam yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan itu kesalahan pertama tertuduh.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 3:05pm
d