mutakhir

Abu al-Quran dilupus di laut [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Lebih satu tan abu bahan dan teks al-Quran selamat dilupuskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) di perairan negeri itu, hari ini.

Proses pelupusan disempurnakan Pengarah JAHEAIK Datuk Che Mohd Rahim Jusoh di kawasan yang mempunyai kedalaman 18 hingga 20 meter pada jam 10 pagi kira-kira lima batu nautika dari jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar bagi memastikan bahan yang dilupuskan itu tidak kembali ke darat.

Che Mohd Rahim berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit bagi melepaskan abu kitab suci itu yang berasal daripada tiga tan naskah al-Quran yang rosak dan koyak.

"Pelupusan yang dibuat pada hari ini (semalam) adalah kali yang kedua pada tahun ini di mana pada Mac lalu, pihak kami sudah melupuskan 500 kilogram (kg) abu al-Quran.

"Abu al-Quran yang dilupuskan itu adalah naskah al-Quran yang dikumpul sejak awal Januari lalu yang dihantar ke pejabat agama jajahan seluruh negeri dan dibawa ke JAHEAIK untuk diurus mengikut syarak.

"Kami bakar teks Al-Quran ini menggunakan relau keno atau insinerator pembakaran al-Quran di pejabat JAHEAIK untuk dijadikan abu sebelum dikumpulkan bagi dilepaskan ke laut," katanya dalam sidang media Program Pelupusan Abu al-Quran, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini JAHEAIK sudah melupuskan 16.6 tan abu sejak 2014 yang dikumpul di seluruh negeri dan dilupuskan bergantung kepada keperluan dan jumlah bahan yang diterima.

"Saya menasihatkan kepada semua masyarakat Islam dan pengusaha yang mempunyai al-Quran atau bahan berkaitan agama supaya tidak membuangnya merata-rata kerana JAHEIK bersedia untuk menerimanya melalui pejabat-pejabat agama jajahan seluruh negeri.

"Proses pelupusan kitab suci ini dibuat secara tertib mengikut fatwa diputuskan Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan kali ke 2/2006 bagi garis panduan pembakaran buku agama mengikut al-Quran dan hadis," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 3:12pm
d