mutakhir

Pencari kepah ditemui lemas [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Mayat pencari kepah yang hilang selepas terjatuh di beting kuala Kampung Jubakar Pantai, di sini ditemui pada 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mayat Muhammad Munzir Mustafa, 28, ditemui terapung kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir dilihat.

"Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan hilang sejak malam tadi tamat dengan penemuan mangsa ini.

"Jenazah akan dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Isteri mangsa, Nik Nor Suhadaa Zuki, 26, yang berada di lokasi kejadian sejak malam tadi dilihat menangis dan ditenangkan oleh kaum keluarga.

Nik Nor Suhadaa ketika ditemui berkata, suaminya bertolak dari rumah pada jam 5 petang semalam bersama dua bapa sepupunya dan dua lagi rakan untuk mencari kepah serta tiram di lokasi itu.

"Saya minta izin untuk ikut, tetapi suami tidak membenarkannya dan memaklumkan akan pulang pada jam 12 tengah malam.

"Saya tergerak hati untuk menghubunginya malam tadi namun memikirkan mungkin sedang mencari kepah, saya tidak meneruskan hasrat itu.

"Pada jam 1 pagi saya menerima panggilan daripada bapa mentua memaklumkan kejadian berkenaan. Saya sangat terkejut dan segera ke lokasi kejadian," katanya yang meluahkan rasa syukur dengan penemuan mayat suaminya itu.

Sementara itu Timbalan Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Abu Hassan Mohd Nawi berkata, operasi SAR membabitkan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dan Kota Bharu.

"Operasi selaman dilakukan sebanyak tiga kali bermula jam 10.30 pagi yang dilakukan dalam jarak sekitar radius 150 dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

"SAR membabitkan beberapa agensi berkaitan dan kami turut mendapat bantuan dari nelayan serta penduduk kampung yang sukarela membuat rondaan dengan bot masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 4:20pm
d