mutakhir

Yakin perubahan dibawa PN [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri menyebabkan Parti Maju Sabah (SAPP) bersetuju untuk menyokong agenda perubahan dibawa Perikatan Nasional (PN).

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menguruskan negara dengan baik ketika dilanda Covid-19 sejak PN mengambil alih kerajaan Mac lalu.

Katanya, SAPP keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 2008 sebelum bergerak sendiri sebagai sebuah parti politik tempatan di Sabah.

"Saya lihat PM serius dalam menyelesaikan pertindihan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mewujudkan jawatan Menteri Khas bagi meneliti tuntutan bagi Sabah dan Sarawak.

"SAPP yakin Kabinet PN menghormati MA63 dan rakyat Sabah dalam mengembalikan semula hak negeri ini yang terhakis sebelum ini," katanya dalam temu bual khas NSTP.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu digunakan sebaik mungkin rakyat untuk memilih parti yang mampu membawa perubahan kepada semua aspek.

Beliau berkata, proses pemulihan semula ekonomi pasca Covid-19 akan berlangsung dengan lebih lancar sekiranya ada usaha sama antara kepimpinan negeri dan kerajaan Pusat.

"SAPP meletakkan dua calon di kawasan tradisi di Luyang dan Tanjung Papat di Sandakan bagi mewakili rakyat kerusi itu untuk perubahan menyeluruh.

"Ekonomi Sabah berkembang sangat perlahan malah semakin menguncup ketika negara dilanda Covid-19 dan memerlukan transformasi drastik dari kerajaan.

"Jika itu gagal dilaksanakan, rakyat akan lebih ramai menganggur dan perniagaan serta aktiviti ekonomi lain akan terus perlahan," katanya.

Tambahnya, rakyat sudah matang dan mahukan perubahan bukan saja dalam politik tetapi apa lebih penting mereka mampu menjana pendapatan bagi meneruskan kehidupan di saat kos sara hidup yang semakin tinggi.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 4:55pm
d