mutakhir

Kerajaan Selangor masih tunggu keputusan effluen air Sungai Gong

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kerajaan negeri masih menunggu keputusan ujian effluen daripada sampel air Sungai Gong, Rawang yang tercemar dan berwarna hitam tiga hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian berkata, kebiasaannya, keputusan ujian itu mengambil masa tujuh hingga 14 hari.

"Setakat ini kita masih menunggu keputusan ujian effluen daripada Jabatan Kimia Malaysia," katanya dihubungi hari ini.

Loy Sian berkata, keadaan pencemaran di Sungai itu masih terkawal dan tiada gangguan terhadap Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

"Rondaan dan pemantauan 24 jam di lembangan Sungai Selangor dan lembangan Sungai Langat turut dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

"Kerana itu kes pencemaran Sungai Gong kali ini dapat ditangani dengan segera," katanya.

Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan, LUAS menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak berhubung insiden air Sungai Gong yang berwarna hitam.

LUAS pada kenyataan memaklumkan, insiden itu dikesan pada jam 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.

Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Hasil siasatan mendapati, air sungai itu berwarna hitam namun tiada bau dan ia disyaki diakibatkan oleh pewarna.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:05pm
d