mutakhir

Lari balik rumah lepas kemalangan

Oleh Norzamira Che Noh

Banting: Seorang pemandu lori terus pulang ke rumah kerana takut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Sawah, Pulau Carey dekat sini, petang semalam.

Bagaimanapun, lelaki berusia 38 tahun itu tampil membuat laporan polis bersama seorang lagi penumpang lori iaitu wanita berusia 29 tahun, jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, pada kemalangan itu, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 35 tahun meninggal dunia manakala pemandu serta penumpang lori terbabit selamat.

"Pada kemalangan jam 4.30 petang itu, mangsa, Khairol Akmal Mohd Hamdan memandu dari arah Pulau Carey ke Banting.

"Tiba di lokasi, kereta mangsa dipercayai bergesel dengan lori terbabit menyebabkan ia berpusing lalu melanggar pokok di kiri jalan.

"Akibatnya, mangsa yang parah dan tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, lori itu pula terbalik.

Katanya, tiada isu langgar lari dalam kes berkenaan kerana berdasarkan perundangan (kes kemalangan), individu yang terbabit boleh membuat laporan dalam tempoh 72 jam dan ia boleh dilakukan di mana-mana balai polis.

Azizan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:07pm
d