mutakhir

Main judi dalam talian, kontraktor didenda

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang kontraktor didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah bermain judi dalam talian di sebuah restoran, di sini.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Rizuan Mat Basah, 36, dan memerintahkannya dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Bapa dua anak itu membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Jalan Ipoh, di sini, pada 12.15 tengah hari, 17 September lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Nora Napis merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga.

"Ini adalah kesalahan pertama tertuduh, tertuduh insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:07pm
d