mutakhir

21 terima watikah pelantikan jawatan [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan jawatan kepada 21 penerima pada istiadat di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Turut mencemar duli Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Watikah pelantikan diserahkan kepada Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Selangor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Turut menerima watikah adalah Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor dan Pelantikan Wali Raja.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dr Ahmad Shahir Makhtar pada kenyataan memaklumkan, penyerahan watikah itu selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (EPAINS 2003).

Baginda turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Ahli Waris Yang Lain Negeri Selangor.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan melancarkan Pelan Strategik MAIS 2020-2024.

Dr Ahmad Shahir berkata, pelan diinspirasikan Sultan Sharafuddin itu dibangunkan bersama beberapa agensi negeri bagi mendaulatkan syiar Islam dalam memperkasakan ummah Selangor.

Beliau berkata, menerusi pelan lima tahun itu, sembilan strategi dan 16 inisiatif disasarkan merangkumi aspek ekonomi, modal insan, undang-undang, pendidikan dan agama.

"Kita mahu melahirkan generasi bertakwa kepada Allah SWT. Usaha ini memberi kesan positif terhadap masalah sosial seperti ajaran sesat, anak luar nikah dan sumbang mahram.

"Diharap pelan ini menjadi panduan MAIS dan agensi agama di bawah Sultan Selangor agar menjadi contoh institusi Islam yang berupaya membangunkan sosio ekonomi ummah merangkumi semua aspek," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:25pm
d