mutakhir

Dakwaan Mohamaddin Ketapi biadap dan keterlaluan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kenyataan dikeluarkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa insiden di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanyalah sandiwara adalah keterlaluan dan biadap.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejadian berkenaan adalah benar-benar berlaku dan ramai anggota keselamatan terbunuh.

"Tidak ada orang yang berlakon terbunuh tidak ada berlakon untuk mati.

"Kenyataan itu adalah keterlaluan dan biadap, dia juga sudah memohon maaf namun bagi saya perkara seperti ini jangan bercakap dahulu dan meminta maaf kemudian," katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, dia menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak polis dan berharap tidak ada sebarang kompromi.

"Dia mesti sensitif dengan anak yang kehilangan bapa, sensitif dengan isteri kehilangan suami.

"Kita sendiri melihat betapa sedihnya keluarga ini apabila menerima jenazah," katanya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima 35 laporan polis di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

Semalam media melaporkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi memohon maaf ke atas seluruh anggota keselamatan ekoran video tular mempersendakan pasukan keselamatan.

Mohamaddin berkata, kenyataan yang diucapkan dalam video klip terbabit menimbulkan salah faham.

Satu video berdurasi dua minit 30 saat tular di media sosial dan memaparkan berhubung ucapan beliau mengenai pencerobohan di Tanduo Lahad Datu.

Ucapan beliau dalam video itu kemudian mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:47pm
d