mutakhir

Tokong di tepi makam kerabat diraja

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bota: Tindakan premis barangan logam dan pasir yang meletakkan sebuah tokong kecil bersebelahan makam lama dipercayai milik kerabat diraja Perak di Kampung Aji, Bota Kiri, di sini, mengundang kemarahan penduduk setempat.

Difahamkan, makam berkenaan adalah milik nenda kepada Almarhum Sultan Idris Shah II.

Imam Masjid Kampung Aji, Rad Mishah, 70, berkata, tindakan pihak premis itu tidak sepatutnya berlaku kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Menurutnya, sebelum ini mereka sudah beberapa kali membuat aduan dan menegur pihak premis namun tiada tindakan yang diambil dan susulan itu penduduk berkumpul hari ini supaya perkara itu dapat diselesaikan.

"Mereka meletakkan tokong kecil di tepi makam, banyak lagi tempat tetapi kenapa letak dekat sangat dengan makam, kita perlu menjaga sensitiviti (agama) masing-masing.

"Bagaimanapun, petang semalam saya lihat baru mereka mengubahnya dan berharap perkara ini tidak akan berulang lagi selepas ini," katanya ketika ditemui pada perhimpunan bantahan penduduk, hari ini.

Turut hadir berbincang bagi menyelesaikan perkara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Khairul Shahril Mohamed dan beberapa wakil daripada Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Baitulmal dan Pejabat Agama Islam.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, premis berkenaan sudah bertapak di kawasan itu sejak hampir 30 tahun lalu, namun tidak membabitkan kawasan makam berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sejak 10 tahun lalu, apabila pemilik premis itu membesarkan kawasan perniagaannya, tapak makam mula terjejas.

"Tindakan mereka meletakkan tokong kecil di tepi makam menimbulkan rasa kurang senang penduduk setempat.

"Justeru itu, pertemuan ini untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan kerana sebelum ini pengusaha premis dikatakan tidak serius dalam isu ini," katanya.

Beliau berkata, pihak premis mahu bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk membantu membaik pulih struktur kawasan makam.

"Sebelum ini makam mempunyai pagar dan dijaga tetapi kerana sudah lama ia rosak, selepas ini kita akan membaik pulih kawasan ini dan pihak premis juga mahu bekerjasama," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 5:55pm
d