mutakhir

Insiden SUKE, tunggu laporan penuh siasatan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan hanya akan diambil selepas Kementerian Kerja Raya menerima laporan penuh siasatan berhubung insiden konkrit pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menimpa sebuah kereta, Sabtu lalu.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini, pihaknya sedang menunggu laporan penuh siasatan insiden itu.

Menurutnya, beliau sendiri sudah turun ke lokasi dan secara asasnya perlu melihat dari perspektif yang berbeza.

"Pertama, melalui perspektif reka bentuk, monitor lokasi, lihat keseluruhan kerja membabitkan jurutera dan jurutera yang melakukan pemeriksaan.

"Kita akan dapatkan laporan penuh daripada CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) dan DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan tindakan akan diambil selepas itu," katanya pada sidang media selepas Program Sesi Libat Urus Penggiat Industri Bersama Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) di Kompleks Kerja Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang Sabtu lalu, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Insiden itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:00pm
d