mutakhir

Operasi UOB Kepong tutup dua minggu

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) menutup cawangan Kepong, Kuala Lumpur selama dua minggu berikutan pemberitahuan pihak berkuasa kesihatan mengenai seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Dalam kenyataannya, UOB Malaysia berkata, arahan penutupan cawangan itu termasuk akses ke perkhidmatan mesin perbankan layan diri yang berkuat kuasa hari ini hingga 5 Oktober.

"Cawangan akan ditutup sehingga 5 Oktober bagi membolehkan kerja pembersihan dan nyahkuman dijalankan.

"Perkhidmatan akan dibuka semula selepas mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kesihatan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kakitangan tersebut adalah seorang pakar gadai janji yang bertugas di cawangan itu dan mempunyai sejarah perjalanan ke Lahad Datu dan Semporna, Sabah pada 10 hingga 13 September lalu.

"Kami sudah memulakan usaha pengesanan kontak rapat pesakit itu di mana semua kakitangan dan pelanggan akan dihubungi hari ini.

"Mereka akan diminta menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan memantau tahap kesihatan masing-masing sementara menunggu arahan selanjutnya," katanya.

Tambah kenyataan itu, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan mengenai langkah-langkah susulan yang mungkin perlu diambil.

"Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan digital kami, termasuk Perbankan Internet Peribadi UOB, Perbankan Internet Peribadi Plus UOB dan aplikasi mudah alih UOB Mighty.

"Bagi pelanggan yang perlu menggunakan perkhidmatan di kaunter, sila kunjungi cawangan Damansara Uptown dan Kota Damansara atau cawangan terdekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 8:25pm
    d