mutakhir

MCMC tangani masalah internet Kampung Kongsi 14

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kemudahan internet yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Kongsi 14 Bukit Selambau, Kedah.

Dalam satu kenyataan (MCMC) berkata, sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang

dihadapi penduduk setempat di kampung terbabit, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan di situ untuk tampil dengan jalan penyelesaian sementara.

Katanya, susulan pendedahan bahawa ratusan penduduk di kampung itu terpaksa menggunakan tiang, baldi dan tali untuk menikmati kemudahan internet, MCMC turun padang pada 18 dan 20 September lalu bagi menyiasat aduan yang dibangkitkan.

"Untuk penyelesaian secara menyeluruh, solusi jangka panjang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sedang dirancang dan akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.

"MCMC memandang serius aduan yang dikemukakan dan memberi jaminan bahawa aduan penduduk di Kampung Kongsi 14, akan ditangani dengan sewajarnya," katanya dalam kenyataan itu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 9:07pm
d