mutakhir

Ada dadah di kaki mangsa

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menemui beberapa peket dadah diikat pada kaki seorang lelaki yang terjun dari jejambat lebuh raya dipercayai membunuh diri selepas terbabit kemalangan di Kerinchi Link, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan dilakukan ke atas mayat lelaki berusia 60 tahun terbabit selepas menerima maklumat kejadian.

Beliau berkata, sebelum itu polis menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kerinchi Link pada 8.20 malam, yang mana seorang daripada pemandu bertindak terjun dari jejambat lebuh raya berkenaan.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu panik apabila dikejar orang awam di satu lokasi lain. Kejadian berkenaan tular di media sosial dengan satu video menampakkan pemandu melawan arus dikejar beberapa penunggang motosikal.

"Dia kemudian memberhentikan kereta secara tiba-tiba di bahu jalan di Kerinchi Link menyebabkan sebuah Toyota Hilux melanggar belakang keretanya. Selepas pelanggaran berlaku lelaki itu keluar dan memanjat penghadang jalan lalu terjun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan punca kematian adalah kecederaan serius di bahagian kepala dan terdapat beberapa paket dadah dijumpai diikat di kedua kaki.

Katanya, semakan mendapati lelaki itu mempunyai 24 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, samun dan curi kenderaan selain tiga rekod dikehendaki polis.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil menyalurkannya dengan menghubungi polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222.

Terdahulu portal Harian Metro melaporkan, tindakan seorang lelaki yang dipercayai mahu membunuh diri memberhentikan keretanya di bahu jalan secara tiba-tiba di Kerinchi Link, di sini, menyebabkan berlaku kemalangan dengan kenderaan lain, semalam.

Berita berkaitan

Lelaki maut terjun jejambat [METROTV]

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 12:05am
d