mutakhir

40 penduduk di Rantau terjejas banjir kilat

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seramai 40 individu daripada 12 keluarga di dua dua perkampungan, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman dilanda banjir kilat malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam kenyataannya malam tadi berkata, penduduk yang terjejas itu membabitkan Kampung Sega Hilir dan Stesen di Rantau.

Katanya, ketika ini penduduk yang terjejas masih ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Sega Rantau.

"PPS mula dibuka pada 11.30 malam tadi bagi menempatkan semua 40 mangsa banjir dan sehingga kini mereka masih di PPS.

"Banjir berlaku di kawasan rendah berikutan hujan lebat yang bermula sejak 5.30 petang semalam (kelmarin) hingga petang semalam," katanya.

Sekretariat turut menasihati mangsa kekal di PPS berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selepas ramalan cuaca Jabatan Meteorologi menunjukkan kemungkinan hujan beberapa hari akan datang.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan membantu mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SK Sega Rantau.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 12:16am
d