mutakhir

Peralatan kilang cemar udara disita

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Sungai Petani: Dua kilang kayu di Bukit Selambau, di sini dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), kelmarin selepas didapati tidak menggunakan sistem kawalan pencemaran udara.

Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung pencemaran terutamanya bau dan asap.

Anggota penguatkuasa mendapati kilang terbabit tidak menggunakan sistem kawalan pencemaran udara mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan peralatan yang digunakan disita.

Norazizi berkata, JAS memberi tempoh dua minggu kepada kilang terbabit untuk mengambil tindakan pembaikan.

Katanya, jika kilang terbabit gagal berbuat demikian, perintah larangan operasi akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAS sehingga mereka mengambil tindakan berkenaan.

"Penahanan operasi kelengkapan di dua kilang terbabit dilakukan mengikut Seksyen 38(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam satu operasi berasingan, Norazizi berkata, pihaknya juga menyiasat kilang kayu di Bukit Selambau kerana didapati melanggar Perintah Larangan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JAS sebelum ini.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Robert Ling Kui Ee berkata, pemain industri harus memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar dan mengikuti peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

"Selain itu, kerajaan negeri akan memastikan dengan kerjasama JAS sentiasa bersiap siaga dalam memberi perkhidmatan terbaik terhadap aduan penduduk dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kilang-kilang yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 11:10am
d