mutakhir

Cubaan seludup 15.2kg syabu gagal

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Seorang lelaki diberkas selepas cuba menyeludup masuk 15.2 kilogram (kg) syabu di Lapangan Terbang Lahad Datu pada 13 September lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, sebelum kejadian anggota kastam bertugas mengesan cubaan suspek menyeludup dadah berkenaan berdasarkan analisis data.

"Suspek dikesan secara manual oleh anggota kastam di lapangan terbang.

"Sebaik suspek tiba di lapangan terbang, anggota terus menahannya dan selepas memeriksa bagasi dibawa lelaki itu sebanyak 15.2kg dadah berjaya ditemui.

"Ia dianggarkan bernilai RM609,326 dan dipercayai untuk pasaran di Lahad Datu dan daerah sekitarnya," katanya dalam sidang media di Sandakan, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu sebelum menaiki penerbangan sekali lagi ke Lahad Datu.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sekiranya disabit kesalahan, dia boleh dijatuhkan hukuman mandatori iaitu hukuman gantung sampai mati," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, pihaknya berjaya merampas sebanyak 82.87kg syabu dan ia dianggarkan bernilai RM3.56 juta.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 26.4kg ganja bernilai RM547,898 dirampas.

"Bagi rampasan biji ganja, ketum dan ketamin sebanyak RM43,360," katanya.

Menurutnya, setakat ini juga 10 individu berjaya dituduh di mahkamah membabitkan kes dadah.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 11:29am
d