mutakhir

Perjuangan Zareq, Nazira dikongsi PM

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menyebut beberapa rakyat yang sempat ditemuinya dan dimaklumkan, berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh mencabar Covid-19.

Malah Perdana Menteri mengumumkan bantuan susulan iaitu Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin atau dengan ringkasnya, Kita Prihatin yang dicetuskan hasil maklum balas daripada seluruh rakyat pelbagai peringkat.

"Baru-baru ini, saya sendiri berkesempatan bertemu dengan Encik Rosali Md Nasid, Puan Chan Kam dan Puan Danaletchimi sewaktu lawatan saya ke PPR Desa Rajang Setapak.

"Saya mengambil perhatian segala luahan hati dan pandangan yang disampaikan oleh mereka dan termasuk juga komen-komen saudara dan saudari di media sosial.

"Pekerja dalam industri terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing (dan) ada yang menceburi bidang perniagaan serta ada juga yang

memberanikan diri mencuba kemahiran baru," katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin, hari ini.

Beliau memetik contoh, pasangan suami isteri yang dahulunya bekerja sebagai pramugara dan pramugari, Zareq Akhtar dan Nazira Azenan yang kini membuka pusat mencuci dan perincian kereta.

"Langkah yang serupa turut diambil oleh saudari Didi Nadhirah, saudara Nabiel Haniff dan Chidie Gillo yang membuka perniagaan kedai makan Dhapor Pramugari.

"Seorang lagi bekas Kapten pesawat, Saudara Khairul Ajid yang kini memilih kerjaya sebagai penghantar makanan," katanya yang memberitahu negara menangani wabak Covid-19 menerusi pendekatan 6R.

Mengambil kira semua kesukaran yang masih dihadapi rakyat, katanya kerajaan memutuskan inisiatif Kita Prihatin yang turut termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

Berita berkaitan:

  • 'Rezeki bukan lagi di awan'
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 3:49pm
    d