mutakhir

Yamaha 125Z hilang dalam rumah

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Dua Yamaha 125Z hilang dicuri dalam rumah mangsa pada dua kejadian berasingan di daerah ini semalam dan 18 September lalu.

Polis pula melakukan siasatan sama ada ia perbuatan penjenayah sama.

Terdahulu, pada kejadian semalam, Yamaha 125Z milik Muhamad Danial Suhaimi, 21, yang tinggal di Taman Sri Impian dekat sini, yang di parkir dalam rumah didapati hilang pada awal pagi.

"Bapa saya mahu keluar rumah jam 6 pagi sebelum mendapati pintu pagar terbuka luas manakala motosikal saya tiada.

"Bukan saja pagar dikunci malah motosikal juga dikunci pada roda depan serta belakang. Ia mungkin dicuri pada awal pagi ketika semua sedang tidur," katanya hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Zaki Jani, 40, yang tinggal di Taman Delima memaklumkan, motosikalnya juga dicuri dengan menggunakan taktik sama pada 18 September lalu.

"Motosikal hilang antara jam 2 pagi hingga jam 7 pagi. Pintu pagar selain jentera berkenaan turut berkunci namun penjenayah dapat melarikannya," katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima lapan laporan kes kehilangan Yamaha 125Z sejak Julai hingga September tahun ini.

"Kami masih mengesan penjenayah terbabit. Mungkin kehilangan jentera sama ini dilakukan oleh penjenayah sama.

"Orang ramai dinasihati supaya mengunci motosikal masing-masing, selain menggunakan kunci tambahan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 4:06pm
d