mutakhir

Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis menghadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada Selasa ditangguhkan berikutan kegeringan baginda Al-Sultan Abdullah.

"Ketika ini, Al-Sultan Abdullah terus menjalani rawatan di bawah pengawasan pakar di Institut Jantung Negara.

"Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, jemaah menteri kabinet dan individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Al-Sultan Abdullah mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

"Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT.

"Al-Sultan Abdullah mengajak seluruh rakyat bersama berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Anwar bersandiwara untuk meraih sokongan rakyat Sabah: Rosol
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • 'Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja'
  • Amanah sokong Anwar
  • 'Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen' - Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu
  • Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 5:10pm
    d