mutakhir

Lima janda ditahan positif dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Lima wanita berstatus janda antara 15 penagih yang ditahan dalam serbuan dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda di 10 kawasan di daerah ini, semalam.

Kelima-lima mereka berusia 38 hingga 40-an itu ditahan kerana positif pelbagai jenis dadah.

Lokasi serbuan itu membabitkan kawasan Taman Ria, Flat Paya Nahu 2, Flat Paya Nahu, Perumahan Awam di Sungai Lalang, Taman Arked, Taman Sri Tanjung di Sungai Layar, Kampung Bakar, Pengkalan Lebai Man, Taman Lembah Permai di Gurun dan Taman Permai di Bedong.

Ketua AADK Kuala Muda Arnida Ishak berkata, operasi dilakukan bermula jam 9 pagi hingga 11.45 malam yang disertai empat anggota.

Beliau berkata, seramai 15 orang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita berusia antara 17 hingga 43 tahun.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan hasil keputusan mendapati mereka positif dadah.

"Tujuh yang ditahan didapati positif dadah jenis methampetamine dan morfin manakala lapan lagi positif methampetamine," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

"Tujuh individu ditahan direman di lokap Kuala Muda manakala tiga individu dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

"Lima wanita yang gagal hadir jamin sebelum ini kemudian dihadapkan di Mahkamah Majistret Sungai Petani mengikut seksyen yang sama," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 5:17pm
d