mutakhir

Memang nampak pesawat terhempas

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Memang ada rasa kesal dan terkilan kerana dituduh mengambil bahan terlarang ketika melihat kejadian pesawat ringan terhempas, Ahad lalu.

"Niat kami ikhlas mahu memberi maklumat mengenai kejadian namun apabila dituduh khayal, membuatkan kami serik dan trauma."

Demikian luahan nelayan yang mahu dikenali sebagai Pak Long, 39, antara tiga penduduk yang mendakwa menyaksikan kejadian pesawat ringan dilaporkan terhempas di laut berhampiran Tanjung Bunga, di sini.

Pesawat dikatakan itu bagaimanapun gagal dikesan pihak berkuasa yang menjalankan operasi menyelamat dan mencari (SAR).

Pak Long yang sudah menjadi nelayan sejak 20 tahun lalu berkata, ketika kejadian, dia bersama anak saudaranya berusia 35 tahun berada berhampiran pantai selepas pulang dari menangkap ikan.

Katanya, kira-kira jam 2 petang ketika air laut pasang, anak saudaranya memanggilnya dan menunjukkan objek seperti pesawat berpusing membentuk bulatan di udara sebelum mendarat di atas air.

"Pesawat itu seperti milik peribadi, mendarat di atas air sebelum meluncur dan seketika kemudian mengeluarkan asap hitam serta belon di bahagian ekor.

"Hampir 10 minit kami melihat kejadian itu bersama seorang lagi nelayan dan kemudian objek itu hilang, mungkin tenggelam ke dalam laut.

"Saya fikir mungkin ia hanyalah sekadar latihan kecemasan dan belon terbabit mungkin payung terjun yang digunakan bagi menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tanpa memikirkan perkara itu, Pak Long dan anak saudaranya pulang ke rumah masing-masing sebelum dia diberitahu isterinya bahawa terdapat polis dan agensi penyelamat berada di kawasan pantai.

Mereka bergegas semula ke kawasan berkenaan dan dimaklumkan oleh orang ramai mengenai laporan pesawat ringan terhempas.

"Saya difahamkan laporan polis dibuat berhubung kejadian itu dan saya juga mengaku melihatnya sebelum diminta ke balai polis bagi memberi maklumat.

"Niat kami hanya mahu membantu pihak berkuasa melakukan kerja SAR selain menjadi tanggungjawab sebagai saksi kejadian.

"Namun tidak sangka pula orang ramai menuduh kami dengan kata yang tidak berasas, justeru kami mohon supaya hentikan tindakan itu," katanya.

Dia bersama dua saksi lagi sudah melakukan ujian saringan air kencing ketika memberi maklumat di balai polis dan didapati negatif daripada pengambilan bahan terlarang.

Mengulas lanjut, Pak Long berkata, sehari selepas kejadian, dia turut mengambil inisiatif ke lokasi berkenaan dengan menaiki bot dan menahan pukat di situ kira-kira jam 7 pagi namun pukatnya tidak tersangkut dengan mana-mana objek di dasar laut dan dia hanya berserah kepada tindakan lanjut pihak berkuasa.

"Memang ada pemberita cari saya selepas itu, cuma saya sendiri enggan berjumpa kerana serik dan trauma apabila berita ini tular.

"Saya bimbang jika saksi kejadian dikecam begini, pada masa akan datang tiada lagi orang awam yang mahu tampil beri maklumat," katanya.

Pada 20 September lalu, polis bersama beberapa agensi melakukan SAR di kawasan perairan berhampiran Tanjung Bunga selepas menerima laporan kejadian sebuah pesawat terhempas.

Namun pihak berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk dan SAR dihentikan pada jam 7 petang pada hari yang sama berikutan cuaca gelap.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioneer Soffian Santong, daripada 10 orang, hanya tiga daripadanya mendakwa melihat kejadian itu dan polis masih meneruskan siasatan serta mengesan saksi lain.

Katanya, SAR akan diteruskan selepas pihaknya mendapat maklumat atau petunjuk baru mengenai kejadian itu.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 5:46pm
d