mutakhir

Bot nelayan Vietnam karam bersama hasil tangkapan

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Sebuah bot nelayan Vietnam mengalami kebocoran sebelum karam ketika cuba melarikan diri daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menjalankan Ops Kuda Laut di kedudukan 94 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sebelum kejadian, bot terbabit bersama sebuah lagi bot nelayan negara sama dikatakan sedang menjarah ikan di lokasi berkenaan menggunakan kaedah tunda ganding (tunda dua bot) pada 9 pagi.

Beliau berkata, apabila menyedari kehadiran Kapal Maritim (KM) Langkawi yang sedang melakukan rondaan di lokasi berkenaan, nelayan terbabit segera memutuskan tali pukat sebelum melarikan diri ke arah sempadan perairan negara.

"Berikutan kelajuan melebihi had, berlaku kebocoran pada kedua-dua bot terbabit dan sebuah daripadanya yang dipercayai menyimpan hasil tangkapan mengalami kebocoran serius dan tenggelam.

"Selain itu, sebuah lagi bot berjaya diselamatkan sebelum dibawa balik ke jeti APMM di Pulau Kambing, di sini yang memakan masa lebih 38 jam.

"Kita mengambil masa hampir satu jam mengejar bot berkenaan sebelum bot yang mengalami kebocoran serius itu berhenti secara tiba-tiba sebelum karam dan semua kru termasuk tekong bot terbabit dipindahkan ke sebuah lagi bot yang berjaya ditahan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bot bersama 14 kru berumur 21 hingga 52 tahun ditahan kerana tiada lesen dan dokumen pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut pada bot ditahan tidak menemui sebarang hasil tangkapan laut dan kami merampas bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta termasuk nilai bot.

"Kami tidak pasti sama ada bot yang tenggelam itu memiliki hasil tangkapan atau tidak kerana berdasarkan soal siasat dijalankan, nelayan terbabit mendakwa baru memasuki perairan negeri ini," katanya.

Beliau berkata, semua tahanan menjalani bagi proses ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, menerusi Ops Kuda Laut, pihaknya sudah menahan 45 bot nelayan Vietnam membabitkan tangkapan 558 kru dan tekong.

"Setakat ini, 66 bot nelayan Vietnam ditempatkan di Jeti APMM Terengganu dan Kemaman dan 14 daripada bot terbabit sudah dilucutkan hak serta hanya menunggu untuk dilupuskan manakala selebihnya masih dalam proses mahkamah.

"Kami tidka akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mengakibatkan kerugian pada negara," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 6:16pm
d