mutakhir

Khidmat urus jenazah secara percuma

Oleh BERNAMA

Besut: Bagi yang kurang berkemampuan, mereka tidak perlu gusar jika berdepan dengan kesukaran menguruskan jenazah ahli keluarga, sebaliknya hanya perlu menghubungi seorang daripada tujuh individu Tim Amal Jenazah Besut di sini, yang sedia menghulur khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

Pengurusan jenazah ditawarkan mereka secara sukarela bukan sekadar urusan mengambil mayat dari hospital sahaja, malah memastikan tiada sebarang beban ke atas keluarga si mati dalam urusan pengebumian.

Tim Amal Jenazah Besut di bawah pimpinan Mohd Azizul Azli Mohd Sani, 36, itu ditubuhkan pada pertengahan tahun lalu sebagai inisiatif untuk berkhidmat kepada masyarakat dan salah satu kaedah mendapatkan motivasi dalam menjalani kehidupan.

Mohd Azizul Azli yang juga kontraktor berkata, pihaknya kini mempunyai empat van jenazah dan dua daripadanya ditempatkan di Surau Kampung Gaung, Jertih manakala masing-masing satu di Masjid Ulul Albab dan Masjid Kampung Tok Has.

"Kami bukan sahaja menghantar jenazah untuk dikebumikan di sekitar daerah ini, tetapi ke negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Johor tanpa mengenakan sebarang bayaran.

"Kami membantu dengan ikhlas kerana tidak mahu waris si mati berdepan kesukaran di saat mereka kehilangan orang tersayang," katanya.

Beliau berkata, pemandu van tidak menerima sebarang elaun atau gaji tetap, sebaliknya melakukan tugasan secara sukarela.

Menurutnya, sekiranya terdapat sumbangan daripada mana-mana pihak, ia akan dimasukkan ke dalam tabung pengurusan jenazah orang lain.

"Idea untuk menyediakan perkhidmatan van dan menguruskan jenazah itu timbul setelah saya mendapati kurangnya perkhidmatan percuma sebegitu disediakan bagi mereka yang benar-benar memerlukan.

"Lebih menarik, pasukan kami akan membiayai keseluruhan kos sehingga ke peringkat pengebumian dan kini kami giat membina ruang khas di surau Kampung Gaung khusus untuk memandikan jenazah, termasuk bagi individu yang tidak mempunyai waris.

"Bagi orang ramai atau waris si mati yang memerlukan khidmat van jenazah atau perkhidmatan, mereka bolehlah menghubungi saya dengan menelefon 013 9721200," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 7:57pm
d