mutakhir

Seludup 33 kampit beras

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Cubaan penyeludup memecut kenderaan melarikan diri daripada pihak berkuasa sejauh kira-kira lima kilometer gagal apabila kenderaannya terus diekori rapat.

Bagaimanapun lelaki berkenaan berjaya keluar daripada kenderaannya dan lari ke arah semak dengan meninggalkan 33 kampit beras yang diseludup dari Thailand dalam but belakang.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika rondaan dibuat pada 4 petang semalam, anggotanya ternampak kereta jenis Perodua Myvi dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Sawa, di sini.

"Anggota menghampiri dan mengarahkan pemandunya berhenti namun dia terus memecut kenderaan terbabit.

"Pemandu itu melarikan diri sehingga ke Kampung Jubakar sebelum bertindak memberhentikan kenderaannya dan keluar lari ke dalam semak.

"Pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati 33 kampit beras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM3,284," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azhari berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua beras itu diseludup dari Thailand untuk pasaran sekitar Tumpat dan kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi Dan Beras 1994.

Dalam perkembangan lain, pihaknya menahan seorang tekong warga tempatan bersama dua warga asing di Pangkalan Haram Kebun, Pengkalan Kubor, di sini pada 2 petang semalam.

Beliau berkata suspek yang juga seorang nelayan berusia 38 tahun itu baharu 'menjemput' dua warga Thailand sebelum memasuki kereta untuk dibawa ke Tok Bali, Pasir Puteh.

"Dari soal siasat yang dibuat, suspek mengaku menerima upah sebanyak RM100 setiap seorang warga asing yang dibawa ke mana-mana lokasi selepas mereka berjaya menyelinap masuk ke negara ini melalui pangkalan haram.

"Dia bersama dua warga Thailand yang berusia 40 dan 54 tahun dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut dan kami juga merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2012 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 11:41am
d