mutakhir

PRN Sabah: Warisan fokus untuk menang [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah (Warisan) enggan memberi fokus kemelut politik yang berlaku di Semenanjung membabitkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, apa yang menjadi fokus kini adalah memastikan Sabah mendapat kerajaan yang stabil.

Menurutnya, baki beberapa hari lagi ini hanya akan digunakan untuk berkempen berbanding mencampur aduk apa yang berlaku antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pentadbiran PN dibawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu (kemelut politik di Semenanjung) kerana fokus kini untuk menang pilihan raya di Sabah.

"Biar kami fokus dan mahukan sokongan terhadap kerajaan Warisan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Sabah Unity bersama belia, di Teluk Likas, di sini hari ini.

Semalam, Anwar dalam sidang media khas di Kuala Lumpur mendakwa memiliki sokongan yang kukuh daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Anwar juga mendakwa kerajaan PN sudah runtuh selepas dia menerima sokongan yang akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya dijadualkan mengadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa namun ditangguhkan ekoran Baginda menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam kenyataan balasnya memaklumkan dia masih Perdana Menteri yang sah dan pembentukan kerajaan perlu dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 12:32pm
d