mutakhir

Bongkar rahsia gudang [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Polis menyerbu gudang menyimpan barangan runcit, besi dan kereta potong di Sungai Lalang, di sini, , Selasa lalu, yang dipercayai menjadi tempat menyimpan dadah.

Dalam serbuan 8.45 malam itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan 11 individu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, enam daripadanya lelaki berusia 13 hingga 43 tahun manakala lima wanita berusia 13 tahun hingga 57 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui dadah jenis heroin dalam kereta dalam gudang berkenaan yang dianggarkan seberat 2.7 kilogram (kg).

"Hasil siasatan juga mendapati, kesemua mereka mempunyai pertalian isteri, anak, sepupu dan pekerja kepada lelaki berusia 38 tahun dipercayai ketua kumpulan yang ditahan itu.

"Malah siasatan lanjut juga mendapati, lelaki itu dipercayai pernah terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sebelum ini namun terhenti kerana direman penjara berhubung kes bunuh pada tahun 2014 sebelum dibebaskan pada hujung tahun 2017," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Adzli berkata, kegiatan pengedaran dadah dipercayai dilakukan di sekitar Sungai Lalang dan Gurun di daerah ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, suspek utama itu dipercayai ada kaitan dengan Geng 35.

Katanya, pihaknya percaya barangan runcit, beberapa kereta terpakai dan lori di kawasan itu adalah sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa untuk menyimpan dadah berkenaan.

"Kesemua dadah jenis heroin yang dirampas itu bernilai RM136,525.

"Selain itu, kita turut merampas barangan kemas, kereta dan sejumlah wang tunai di lokasi serbuan untuk membantu siasatan," katanya.

Adzli berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki berusia 38 tahun itu juga mendapati dia positif morfin.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati dua suspek lelaki dan seorang wanita yang ditahan itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai semalam (23 September) hingga 29 September ini untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 1:31pm
d