mutakhir

Koperal trafik tipu selesai saman

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Helah seorang Koperal polis yang kononnya mampu menyelesaikan bayaran saman trafik dengan 'upah' RM500 terbongkar selepas ditahan kerana disyaki menipu orang awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pemandu lori berusia 46 tahun yang memaklumkan ada ke kaunter Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk membuat semakan saman anaknya pada 17 September lalu.

"Selepas semakan dilakukan, mangsa didapati mempunyai keseluruhan saman berjumlah RM1,120.

"Ketika mangsa masih berada di kaunter, dia ditegur oleh suspek yang menawarkan bantuan untuk menyelesaikan saman berkenaan dengan membayar sebanyak RM500.

"Suspek berusia 45 tahun itu memberi alasan kepada mangsa bahawa dia mempunyai rakan di Bahagian Trafik Bukit Aman yang boleh membantu mengurangkan jumlah saman terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek yang mendakwa akan menyelesaikan saman berkenaan dalam tempoh tiga hari kemudiannya memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun anggota polis terbabit.

"Selepas tempoh berkenaan, mangsa dapati saman itu tidak selesai menyebabkannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.

"Hasil maklumat berkenaan, kami menahan anggota polis terbabit yang bertugas di Bahagian Trafik IPD Petaling Jaya pada 7.30 malam tadi," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap suspek turut mendapatinya positif dadah jenis methaphetamine.

"Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai digalak melakukan urusan semakan saman secara dalam talian dengan melayari laman sesawang https://www.rilek.com.my atau https://www.myeg.com.my selain khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 15888," katanya.

Menurutnya, bagi urusan pembayaran pula, orang ramai hanya boleh membuat bayaran saman di mana-mana kaunter trafik sahaja (COPS) di seluruh negara.

"Kami mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pembayaran saman di Pejabat Kemalangan (EO) Trafik.

"Sebarang urusan pembayaran saman hanya boleh dibuat melalui COPS dengan dibekalkan resit rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 2:55pm
d