mutakhir

Empat rangka motosikal ditemui [METROV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Penahanan empat lelaki yang menganggotai kumpulan jenayah, Geng Jan Pelam pada 12 September lalu membawa kepada penemuan empat rangka motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Mereka yang berusia antara 22 hingga 39 tahun ditahan secara berasingan pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil soal siasat terhadap mereka membawa kepada penemuan empat rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Muda, Tikam Batu.

"Selepas diperiksa, didapati dua rangka motosikal ialah jenis Yamaha 135LC dan dua lagi Honda EX5," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.

Adzli berkata, berdasarkan siasatan, tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, hasil soal siasat dan risikan mendapati kumpulan ini dipercayai aktif mencuri motosikal sejak 2018 di kawasan Tikam Batu.

"Dengan tertumpasnya Geng Jan Pelam ini, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal di kawasan Tikam Batu.

"Modus operandi yang digunakan geng ini adalah dengan menggunakan 'master key' yang dibuat sendiri, besi berbentuk L yang diasah di hujungnya," katanya.

Menurutnya, geng ini menyasarkan kawasan perumahan untuk mencuri motosikal dan tujuannya adalah mengambil serta menjual komponen motosikal sebelum rangka motosikal berkenaan dibuang ke dalam sungai.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 3:02pm
d