mutakhir

Penuntut universiti, 3 rakan ditahan edar ganja

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Empat sekawan termasuk seorang penuntut universiti ditahan polis selepas terbabit dengan kegiatan pengedaran ganja di Menara Simfoni, Balakong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada mulanya pihaknya menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di kawasan parkir di lokasi berkenaan pada 2.25 petang.

"Pemeriksaan terhadap suspek menemui satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 256.5 gram.

"Hasil tangkapan itu, kami menahan tiga lagi rakannya yang masing-masing berusia 24 tahun di sebuah rumah di lokasi terbabit pada 2.45 petang, hari yang sama," katanya hari ini.

Mohd Zaid berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap suspek dan di dalam rumah berkenaan menemui enam ketulan mampat, 18 peket dan empat botol cecair mengandungi bahan disyaki ganja seberat 2,360 gram bersama peralatan untuk membungkus dadah.

"Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,541 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 872 penagih dadah.

"Dalam serbuan ini, kami turut merampas wang tunai sebanyak RM1,200.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket itu aktif dalam aktiviti pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka didapati positif ganja.

"Semua suspek direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 3:49pm
d