mutakhir

'Tidak semestinya kita benarkan rakyat tunai umrah'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Malaysia tidak semestinya membenarkan rakyat di negara ini mengerjakan umrah, biarpun Kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran menunaikan ibadat berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari berkata, ia perlu dinilai dengan keadaan semasa Covid-19 terlebih dahulu.

Beliau berkata, negara lebih mementingkan soal keselamatan rakyat sebelum keputusan sama ada membenarkan jemaah Malaysia mengerjakan umrah.

"Setakat ini kementerian belum membincangkan perkara ini kerana belum ada maklumat rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi. Kita hanya tahu maklumat melalui laporan media sahaja.

"Cuma, apabila Kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah menunaikan umrah, tidak bermakna Malaysia membuka untuk rakyat di negara ini.

"Perkara ini perlu dibincangkan secara teliti dan terperinci memandangkan kes Covid-19 semakin meningkat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Arab Saudi membenarkan semula umrah untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas tujuh bulan ditangguh berikutan pandemik Covid-19.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan disiarkan Saudi Press Agency berkata, sebagai permulaan 6,000 penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan.

Jemaah dari luar negara pula akan dibenarkan berbuat demikian mulai 1 November dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Kenyataan itu berkata, umrah akan dibenar dilaksanakan dalam kapasiti penuh selepas ancaman Covid-19 dapat dihapuskan sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 4:23pm
    d