mutakhir

Guna air telaga, generator sejak 3 tahun lalu

Oleh Adnan IIbrahim

Simpang Renggam: Tiga puluh lima keluarga di Kampung Tersusun di Murni Jaya, terletak kira-kira 10 kilometer dari Pekan Layang-Layang dekat sini, minum air telaga selain terpaksa menggunakan generator sejak tiga tahun lalu.

Penduduk, Rosman Nordin, 57, berkata, ketiadaan air serta elektrik turut menyebabkan 115 keluarga menangguhkan hasrat untuk membina kediaman idaman.

Katanya, penduduk menerima geran hak milik tanah untuk penempatan di kampung berkenaan pada 2008 sebelum masing-masing mula mendirikan rumah dan siap sepenuhnya menjelang 2018.

"Bagaimanapun, permohonan mereka untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air masih gagal diperoleh walaupun sudah tiga tahun kampung ini dibuka sebagai penempatan baharu.

"Kami tidak tahu di mana silapnya, walaupun kedudukan kampung ini hanya kira-kira 300 meter daripada jalan utama dan kira-kira 2.5 kilometer dari Felda Bukit Permai, namun permintaan kami masih tidak diluluskan," katanya.

Menurut Rosman, akibatnya, setiap keluarga perlu membelanjakan RM10 hingga RM30 semalam untuk menggunakan generator, bergantung kepada saiz dan tempoh masa generator digunakan.

"Malah ada penduduk memasang panel solar dengan perbelanjaan sendiri kerana tidak sanggup untuk terus menggunakan generator sepanjang malam.

"Kami harap, keselesaan hidup penduduk kampung ini mendapat perhatian pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Tersusun Azmi Wagiman berkata, kali terakhir permohonan bekalan air dan pemasangan meter dimajukan kepada pihak SAJ Ranhill ialah pada awal tahun ini selepas tiada sebarang tindakan diambil dua tahun sebelum itu.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sudah dihubungi Mac lalu dan jawapan kami terima ialah, bekalan elektrik akan disalurkan pada tahun ini.

"Namun pihak berkaitan menyatakan, ia tertakluk kepada proses perolehan tender yang sedang dalam tindakan ibu pejabat di Johor Bharu," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 4:59pm
d