mutakhir

Jururawat rugi RM150,000 ditipu sindiket Macau Scam

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Seorang jururawat di Maran berputih mata selepas kerugian RM150,000 diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Pos Laju.

Mangsa berusia 57 tahun itu dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai kakitangan Pos Laju berhubung satu bungkusan mencurigakan atas namanya pada 11 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan dikatakan mengandungi kad bank itu sebelum panggilan berkenaan disambung kepada pegawai polis untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai polis mendakwa mangsa disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM3.2 juta.

"Mangsa diarah membuat bayaran RM30,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan dan dia membuat bayaran itu melalui pemindahan wang ke akaun bank diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas bayaran itu dibuat, suspek terus meminta mangsa membuat bayaran tambahan.

Menurutnya, dalam tempoh 11 hingga 15 September lalu, mangsa membuat beberapa bayaran melalui tiga akaun bank berbeza menjadikan jumlah keseluruhan RM150,000.

"Mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka, Maran semalam.

"Mangsa membuat bayaran itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas didakwa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram bernilai RM3.2 juta.

"Kami sedang mengesan pemilik tiga akaun bank dan nombor telefon digunakan dalam kes itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan Keseksaan kerana menipu," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 6:22pm
d