mutakhir

Muhyiddin yakin GRS menang di Sabah [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Izwan Abdullah

Putatan: Perdana Menteri mahu rakyat Sabah menggunakan kesempatan sistem demokrasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 untuk memilih kerajaan yang mampu membawa perubahan dalam pelbagai sektor.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Sabah tidak harus mensia-siakan peluang ini kerana PRN ini penting dalam menjadikan Sabah lebih maju dan membangun.

Katanya, sambutan hangat yang diterima sepanjang siri kempen sejak minggu lalu membuktikan rakyat Sabah sudah bersedia menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan.

"Malam ini bersejarah dan penting dalam siri jelajah kempen sempena PRN Sabah dan saya rasa kagum bangga kerana ini petanda awal bahawa Parti GRS akan capai kemenangan besar.

"Kita harus yakin kerana ini kesempatan diberikan dalam sistem demokrasi berparlimen yang akan menentukan arah hala tuju negeri ada di tangan rakyat," katanya Majlis Ceramah Perdana GRS di Kampung Sedil, di sini, malam ini.

Turut hadir, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffery Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee,

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup.

Selain itu, hadir sama Naib Presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid; Naib Presiden Pas Idris Ahmad, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim, Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor dan calon PN Petagas Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti sudah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi untuk mengkaji punca kenaikan kos sara hidup yang tinggi di Sabah dan Sarawak.

Katanya, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada Kabinet supaya penyelesaian jangka panjang dapat dicari bagi mengurangkan kos hidup rakyat di Kepulauan Borneo ini.

"Sabah mempunyai khazanah alam dan tanah yang luas jadi boleh kita bangunkan untuk sumber makanan kepada rakyat dan selebihnya boleh dieksport ke luar negara.

"Ini antara stratergi yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup kerana barangan di Sabah dan Sarawak lebih mahal dari Semenanjung," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 10:59pm
d