mutakhir

Ahli Parlimen Bersatu berdiri teguh di belakang Muhyiddin

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menaruh keyakinan penuh dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui negara, kata Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal justeru menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu sebagai satu lagi gimik politik.

Katanya, dakwaan Anwar menerusi sidang media berkaitan perkara itu semalam yang turut dilaporkan media antarabangsa dilihat tidak lebih daripada percubaan mengkucar-kacirkan kepimpinan selain mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan.

"Perbuatan ini sama sekali tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini.

"Anwar seharusnya membuktikan dakwaan beliau itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, sekiranya benar-benar mempunyai sokongan majoriti membentuk kerajaan persekutuan yang baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, justeru semua Ahli Parlimen Bersatu menyeru rakyat sekalian untuk kekal bertenang dan berterusan menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin bagi terus menumpukan segala perhatian kepada urusan pentadbiran negara dalam keadaan masih berperang melawan pandemik Covid-19.

"Dengan ini kami menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sudah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak enam bulan lalu," katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 11:56pm
d