mutakhir

Pandu kenderaan mewah tapi tak ada lesen

Oleh Amir Mamat

Melaka: Bukan hanya memandu kenderaan mewah tanpa lesen, seorang ahli perniagaan turut dikesan positif ganja dan memiliki barang larangan itu.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Muhammad Firdaus Sharif berkata, pasukannya menahan lelaki itu untuk pemeriksaan dan mengesan pelbagai kesalahan dilakukannya.

"Dia kemudian diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tindakan lanjut," katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Operasi empat jam itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Muhammad Firdaus berkata, seramai 27 individu berusia 23 hingga 43 tahun yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing dengan enam daripadanya didapati positif dadah termasuk ibu beranak tiga yang berusia 23 tahun.

"Dua pasangan warganegara Nigeria turut ditahan kerana tidak memiliki pas perjalanan sah.

"Sebanyak 103 kesalahan dilakukan, antaranya membabitkan cermin gelap, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan memasang lampu yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Secara keseluruhan 528 kenderaan diperiksa dengan 66 daripadanya diambil tindakan saman (71) dan sita (3) dan 72 notis lagi diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 9:19am
d