mutakhir

Keluar mengundi, pilih dengan bijak

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi di Sabah supaya memilih dengan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Katanya, BN dan Perikatan Nasional yang bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersedia menggalas amanah dan tugas memimpin negeri.

Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag itu berkata, pemilihan kerajaan yang baik akan membawa Sabah ke arah betul.

"Kepada pengundi, bukan saja di Lamag tapi di semua 73 DUN seluruh negeri, pada 26 September ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju dan masa depan Sabah.

"Apabila kita ada peluang, maka ambillah peluang itu. Gunalah kebijkasanaan untuk memilih parti yang baik. Saya mencadangkan dan mengesyorkan kami, BN dan PN yang bersedia menggalas amanah dan tugas baik.

"Maka anda semua pengundi Sabah wajar memberi perhatian, gunakan akal fikiran yang waras dan pilihlah kerajaan yang baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini," katanya menerusi pesanan khas sempena hari pengundian esok.

Bung Moktar mendakwa, jelas bahawa kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) gagal membangunkan ekonomi Sabah dan memberi perhatian sewajarnya kepada semua rakyat negeri itu termasuk golongan belia.

Beliau mengakhiri pesanannya dengan meminta rakyat Sabah untuk keluar mengundi dan memanfaatkan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang boleh membela nasib rakyat.

Bagi DUN Lamag, Bung Moktar bakal berdepan persaingan lima penjuru menentang calon Warisan, Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan seorang calon Bebas.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 9:59am
d