mutakhir

Rugi ratusan ribu angkara pelaburan hartanah tidak wujud

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menjanjikan keuntungan sehingga tujuh peratus setiap tahun, satu syarikat pelaburan tanah disyaki mensasarkan golongan profesional melabur dalam skim ditawarkan mereka.

Setakat ini, difahamkan lebih 60 pelabur menjadi mangsa kegiatan syarikat berkenaan membabitkan kerugian ratusan ribu setiap seorang.

Seorang mangsa, Yoong Oei Ping berkata, dia diperkenalkan skim itu oleh seorang wanita yang memintanya menghadiri satu taklimat di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor, pada Februari 2018.

Akauntan berusia 56 tahun itu berkata, wanita terbabit mendakwa sebagai ejen hartanah di Malaysia yang dilantik oleh syarikat hartanah dari Florida, Amerika Syarikat untuk menguruskan pelabur yang berminat membeli tanah di negara itu.

Katanya, dia tertarik dengan tawaran skim itu lalu membuat pembayaran lebih RM100,000 bagi satu lot tanah.

"Ejen menjanjikan pulangan pelaburan tinggi untuk tempoh empat tahun dan mendapat hak milik tanah. Pada awalnya, saya mendapat pulangan itu menyebabkan saya menambah jumlah pelaburan bagi tiga lot tanah pada April dan Mei tahun sama.

"Selepas itu, saya tidak lagi menerima sebarang pulangan lalu menghubungi ejen untuk mengetahui status. Pelbagai alasan diberikan termasuk berlaku masalah di Amerika Syarikat sehingga menyukarkan proses pindah milik tanah," katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, hari ini.

Yoong yang berasa tidak puas hati kemudian menghubungi wakil peguam syarikat hartanah di Amerika Syarikat dan terkejut apabila mereka memberitahu tidak menerima sebarang bayaran pelaburan daripada ejen berkenaan.

Berikutan itu, Yoong meminta ejen memulangkan semula wangnya berjumlah RM325,780 namun ejen itu gagal berbuat demikian lalu tampil membuat laporan polis pada 19 Mei lalu untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Chin berkata, dia mengalami kerugian RM110,000 akibat ditipu ejen syarikat hartanah berkenaan.

Lelaki itu tampil membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, beliau yakin polis menjalankan siasatan mengenai perkara itu dan sekiranya wujud unsur penipuan, tindakan undang-undang wajar diambil.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran skim pelaburan hartanah di luar negara bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 4:19pm
d