mutakhir

Virus Covid-19 daripada 5 kluster disyaki mutasi D614G

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesyaki lima kluster yang dikesan di Kedah, Sabah dan Johor terdapat mutasi jenis D614G.

Ketua Pengarah Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, IMR sudah menjalankan ujian penjujukan genom ke atas 32 virus Covid-19 yang dikesan hasil ujian pengasingan dan kultur bagi Kluster Benteng LD (23 virus), Kluster PUI Sivagangga (4 virus), Kluster Tawar (3 virus), Kluster Sungai (1 virus) dan Kluster Bukit Tiram (1 virus).

"Keputusan terkini baru diterima dari makmal IMR adalah seperti disyaki terdapat mutasi jenis D614G yang dikesan kepada semua 32 virus Covid-19 ini.

"Kajian susulan juga dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus yang diasingkan ini dan membandingkan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster PUI Sivagangga dan Kluster Tawar.

"Seperti disyaki juga, semua virus yang diasingkan bagi kluster di Kedah (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan adalah berasal dari sumber virus yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, semua 23 virus Covid-19 dari Kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus Covid-19 yang dijumpai di Kedah meskipun semua mempunyai mutasi D614G.

"Ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus Covid-19 (Phylogenetic tree).

"Masyarakat perlu lebih berwaspada dan lebih berhati-hati. Ini kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini didapati lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak," katanya.

Katanya, masyarakat diingatkan agar mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Masyarakat perlu menjaga penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair nyah kuman.

"Selain itu memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 4:54pm
    d