mutakhir

Belum ramai nelayan mencarum

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

Sungai Petani: Hanya 5,446 nelayan sudah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berbanding lebih 40,000 golongan itu di seluruh negara.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, individu yang bekerja sendiri termasuk nelayan dan petani digalakkan mencarum bagi menjamin masa hadapan mereka.

Katanya, Perkeso memulakan kerjasama bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sejak Ogos lalu bagi memastikan lebih 40,000 nelayan yang menerima Elaun Sara Hidup turut dilindungi.

"Kita sebenarnya menggalakkan semua pekerja sendiri mencarum, tetapi ramai pihak mengganggap caruman Perkeso membebankan. Tetapi jika berlaku sesuatu tidak diingini, mereka bakal menerima banyak faedah.

"Contohnya hari ini, keluarga Allahyarham Zulkifli Mohamad, 52, yang menjadi nelayan pertama di negara ini layak mendapat faedah Perkeso walaupun baharu mencarum mulai Ogos lalu," katanya pada sidang media di Kampung Kuala Segantang Garam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohammed Azman menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pencen Penakat kepada keluarga Zulkifli yang lemas ketika menangkap ikan di perairan Tanjung Dawai, di sini, pada 18 September lalu.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa SKSPS, Ahmad Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali dan Timbalan Pengarah LKIM Kedah, Fairus Ariffin.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, pihaknya mendapati berlaku penurunan individu hilang pekerjaan di negara ini bagi tempoh antara Ogos hingga September ini.

"Berdasarkan data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), kita mendapati berlaku penurunan pemohon menandakan sektor pekerjaan kembali pulih berbanding ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi tempoh Mei, Jun dan Julai memang berlaku peningkatan pemohon SIP menunjukkan ramai pekerja hilang pekerjaan," katanya.

Sehingga 23 September lalu, Perkeso menerima 82,189 permohonan SIP dan membayar lebih RM200 juta kepada pekerja yang terjejas.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 5:07pm
d