mutakhir

PJM, KBBM lonjak semula ekonomi negara [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) diyakini mampu mengembalikan semula ekonomi negara ke landasan asal selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, program jualan dan belian sebelum ini tidak dapat dilaksanakan apabila kerajaan menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peniaga terjejas dan mendorong kerajaan mengadakan program PJM dan KBBM sejak Julai hingga akhir tahun ini sekali gus melonjakkan sektor peruncitan negara.

"Sambutan diterima amat menggalakkan apabila terdapat 63,714 cawangan perniagaan seluruh negara menyertainya dan berjaya mencapai hasil seperti sebelum negara dilanda Covid-19.

"Bahkan kerjasama dengan platform e-dagang Shopee juga dikatakan sudah mencecah RM12 juta hasil jualan tidak termasuk dengan medium atas talian lain," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, terdahulu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) optimis meraih nilai jualan sehingga RM100 bilion apabila kedua-dua program tamat pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata, tawaran melalui PJM dan KBBM memberikan semula keyakinan kepada rakyat untuk berbelanja, manakala peniaga boleh berniaga.

"Program ini membantu semua pihak termasuk golongan M40 dan T20 yang digalakkan berbelanja di dalam negara selepas tidak dapat bercuti di luar negara sekali gus meningkatkan nilai jualan pasaran tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 5:21pm
    d