mutakhir

'Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa prihatin dengan masalah rakyat' - Muhyiddin

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Tuaran: Nasib boleh diubah menerusi sebuah kerajaan yang prihatin terhadap denyut nadi masalah yang dihadapi rakyat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, rakyat Sabah memiliki rekod dalam pemilihan kerajaan berdasarkan beberapa pertukaran parti yang menerajui kerajaan negeri dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Menurut beliau, walaupun kurang tujuh bulan menerajui pentadbiran negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat khususnya sepanjang Covid-19.

"Saya akui dipilih sebagai Perdana Menteri bukan seperti biasa kerana saya hadir ketika Malaysia berdepan krisis kepimpinan selepas Perdana Menteri sebelum ini meletak jawatan.

"Walaupun saya berada kurang tujuh bulan sebagai Perdana Menteri, tapi saya sudah usahakan dalam tempoh singkat cari jalan laksanakan usaha membantu membela nasib rakyat," katanya ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Rakyat di Kampung Sungai Damit di Tamparuli, hari ini.

Turut hadir calon PN bagi kerusi Tamparuli, Datuk Jahid Jahim dan Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor.

Pada ucapannya juga, Muhyiddin mahu rakyat memberikan mandat pemerintahan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, GRS adalah gabungan parti yang mampu membawa Sabah sebagai sebuah wilayah yang lebih baik berbanding sebelum ini.

"Tiada parti yang boleh bersendirian untuk membentuk kerajaan. Jadi GRS ini dibentuk untuk membentuk kerajaan.

"Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kawan saya dan sebelum ini menyatakan sokongan kepada saya.

"Tapi bila sampai waktunya dia mengambil keputusan untuk bersendirian bersama Warisan (Parti Warisan Sabah) dan tidak mahu bersama Perikatan Nasional," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 5:26pm
d