mutakhir

MB Terengganu diarah jalani kuarantin wajib

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas berlaku kontak dengan dua individu positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Berikutan itu, semua program yang membabitkan Ahmad Samsuri ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib.

Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, tindakan pantas diambil pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian Covid-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

Katanya, pemantauan berterusan juga sedang dilakukan pihak JKNT dengan penuh dedikasi.

"Menteri Besar juga sudah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (rT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif dan perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti.

"Bagaimanapun, Menteri Besar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 September ini secara video atas talian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 6:14pm
    d