mutakhir

Mangsa tak pandai berenang

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: "Sebelum turun ke sungai pagi semalam, saya sempat berbual dengan abang dan dia menyatakan amat merindui dan mahu berjumpa dua anaknya yang tinggal dengan bekas isterinya.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka pertemuan semalam menjadi detik menyedihkan apabila abang didapati hilang di sungai," kata Mohd Nawawi Bakri, 27.

Mohd Nawawi adalah adik kepada Mohd Jafri, 32, yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Marhum, di sini, semalam.

Mangsa sebelum itu dikatakan menaiki bot getah milik adik iparnya kira-kira 9 pagi semalam untuk ke Kampung Pulau Tambun bagi membantu rakannya yang akan berpindah.

Bagaimanapun, bot yang dinaiki mangsa ditemui berpusing-pusing di tengah sungai oleh nelayan beberapa meter dari jeti nelayan.

Mohd Nawawi berkata, abangnya sebelum ini pernah menjadi nelayan, namun bertukar kerjaya sebagai tukang rumah kerana mungkin dia lebih berminat mencari rezeki di darat.

Katanya, dia tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku kepada anak kedua daripada lima beradik itu.

"Abang begitu baik dan mesra bukan sahaja pada adik-beradik, tetapi juga ahli keluarga lain. Abang banyak membantu mak, Laili Jusoh dalam apa juga keadaan.

"Saya berdoa abang ditemui walaupun hanya jasadnya sahaja kerana ingin menatap wajahnya," katanya yang turut sama terbabit mencari mangsa.

Sementara itu, bapa saudara mangsa Jali Ismail, 63, berkata mangsa tidak pandai berenang selain cetek pengalaman mengendalikan bot.

Menurutnya, sebelum ini mangsa beberapa kali ingin meminjam bot gentian kaca miliknya untuk turun ke laut, namun dia enggan memberi kerana bimbang berlaku perkara buruk.

"Saya tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai disebabkan kejadian angin kencang, selain mungkin gagal mengawal enjin dengan sempurna.

"Dia menggunakan bot getah dengan enjin 22 berkuasa kuda, kegagalan mengawal enjin dengan baik boleh menyebabkan bot berpusing dan meluncur laju," katanya.

Katanya, penduduk kampung dan keluarga mangsa akan mengadakan solat hajat memohon supaya usaha mencari mangsa berakhir dengan perkara baik.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 8:04pm
d