mutakhir

SPR perincikan garis panduan khas PRN Sabah esok

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan garis panduan khas yang harus dipatuhi pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memperincikan garis panduan terbabit dengan mewajibkan pengundi melalui penggunaan sanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi.

Katanya, ia bermula di pintu masuk pusat mengundi kemudian di pintu masuk saluran seterusnya di dalam saluran selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

"Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

"Individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu bergejala yang sedang dalam rawatan Person Under Investigation (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi," katanya.

Selain itu, beliau juga turut menegaskan semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi mematuhi untuk tidak memakai pakaian atau sebarang bahan berkempen berkaitan.

"Pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi diminta tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka selain membawa bahan yang mempunyai nama, simbol, gambar parti calon yang bertanding atau sebarang bahan kempen.

"Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian," katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Abdul Ghani turut berkata, pihaknya juga menegaskan kepada golongan majikan untuk membenarkan membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok.

"Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 741 buah pusat mengundi dan 2,540 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 28,656 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.

"Seramai 1,088,711 orang pengundi bakal mengundi dalam PRN esok," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 10:10pm
d