mutakhir

Muhyiddin giat bantu jentera PN, GRS hari terakhir kempen

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Memasuki hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin giat turun padang bagi membantu memenangkan calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Perdana Menteri memaklumkan beliau memulakan kempen hari terakhir itu dengan menghadiri program Rapat Umum dan Semarak PN yang diadakan di Dewan Pisompuruan, Tambunan.

Majlis rapat umum itu disertai lapan calon membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sri Tanjong, Sook, Tulid, Liawan, Bingkor, Paginatan, Moyog dan Tambunan.

"Berdasarkan semangat dan kehadiran masyarakat setempat, saya yakin calon daripada PN dan gabungan GRS menepati kehendak pengundi dan mampu memenangi kerusi yang ditandingi," katanya menerusi laman sosial berkenaan.

Selepas itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Imam, Tambunan serta meluangkan masa bertanya khabar jemaah selain menurunkan tanda tangan pada buku pelawat sebelum bergerak ke beberapa lagi lokasi lain.

Beliau turut mendoakan semua calon PN dan calon dalam GRS akan dipilih oleh pengundi sebagai wakil bagi kawasan mereka pada hari pengundian esok.

Lebih sejuta rakyat Sabah akan keluar mengundi esok pada pilihan raya itu yang berlangsung dalam suasana pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

PRN Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dun dalam persaingan banyak penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 11:51pm
d