mutakhir

Tragedi di hari lahir [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Tanggal 26 Jun lalu menjadi detik hitam kepada Mohammad Fakrul Azam Md Rosli, 22, selepas dilanggar lari ketika dalam perjalanan untuk membeli kek hari lahirnya.

Kejadian yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Kangkar Tebrau itu menyebabkan Mohammad Fakrul Azam mengalami keretakan muka, patah paha kanan dan tulang bahu manakala sebahagian tempurung kepala terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan parah.

Abangnya, Mohd Fakhrudin, 26, berkata, ketika kejadian adiknya dalam perjalanan membeli kek sempena hari lahirnya.

"Akibat kemalangan itu, adik mendapatkan rawatan selama sebulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dua minggu koma. Malah di bahagian muka adik juga terdapat sembilan skru, pada ketika itu adik juga tidak dapat mengingati ahli keluarga termasuk ibu.

"Dia hanya minum susu menerusi saluran tiub setiap tiga hingga empat jam sehari dan terpaksa memakai lampin pakai buang. Namun dalam minggu ini adik sudah menunjukkan perkembangan positif dan boleh menerima bubur nasi cair, tiub juga sudah dicabut.

"Adik juga sudah boleh mengingati ahli keluarga terdekat, tetapi masih terlantar kerana tulang paha masih patah. Hujung November nanti adik akan menjalani pembedahan untuk memasang tempurung kepalanya semula," katanya ketika ditemui di kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini, hari ini.

Mohd Fakhrudin berkata, bapa mereka, Md Rosli Md Nor, 58, sudah tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu manakala ibunya, Asiah Seman, 62, pula mengalami masalah penglihatan akibat kencing manis.

Katanya, bagi meringankan beban keluarga, dia yang masih belajar kini menangguhkan pengajian di semester lima Universiti Malaysia Sarawak (UMS) bagi menjaga adiknya.

"Kami enam beradik, kakak dan seorang adik perempuan sudah berkahwin dan mempunyai komitmen keluarga. Pada ketika ini, hanya adik kelima, Nur Hidayah, 20, yang menampung keluarga dengan bekerja kilang.

"Adik bongsu masih sekolah, dalam tempoh sukar kami menggunakan wang simpanan bagi membeli lampin dewasa serta keperluan harian keluarga," katanya

Mohd Fakhrudin berkata, dia sudah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan masih menunggu jawapan.

Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan, boleh berhubung dengan Mohd Fakhruddin menerusi talian 017-8099640 atau sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank Mohd Fakhruddin Md Rosli 151285075388.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 11:52am
d