mutakhir

Bahana ugut bunuh ibu kandung

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Seorang ibu di Kampung Kemunting, Karangan di sini merelakan anak lelakinya ditahan polis selepas diugut bunuh hanya disebabkan enggan memberi wang untuk membeli minuman keras.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menahan suspek berusia 32 tahun itu di hadapan rumah ibunya pada 12.15 tengah malam tadi.

Katanya, sebelum itu pada 7.30 malam Khamis, suspek dikatakan berang dan mengambil pisau di dapur serta mengacukannya ke arah mangsa berusia 53 tahun selepas tidak diberikan wang.

"Ketika itu, mangsa bersama anak perempuannya dan tidak menuruti kehendak suspek dengan alasan tiada wang.

"Suspek tidak berpuas hati kemudian mengambil pisau, mengacukan ke arah mangsa dan mengugut mahu membunuhnya. Dia kemudian melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian, manakala mangsa dan anaknya yang tidak cedera kemudian membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan mereka.

"Bertindak atas laporan itu, kita menahan suspek di hadapan rumah ibunya dan ujian saringan air kencing dibuat mendapati dia negatif dadah.

"Kita merampas sebilah pisau berhulu plastik sepanjang 21 sentimeter," katanya.

Beliau memberitahu suspek yang tidak bekerja direman empat hari sehingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 12:37pm
d