mutakhir

Warga tentera santuni Orang Asli

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Cawangan Risik Markas 4 Divisyen menganjurkan Program Jiwa Murni (PJM) yang menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Kejar, Gerik, Perak, semalam.

Seramai 21 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat terbabit program berkenaan yang turut disertai Cawangan Risik Markas 2 Briged, 4 Rejimen Sempadan serta 621 Pusat Gigi Angkatan Tentera (PGAT).

Markas 4 Divisyen dalam kenyataan hari ini berkata, seramai 89 orang daripada 22 keluarga daif menerima bantuan makanan asas, tuala wanita dan alat tulis.

"Pelbagai program dianjurkan termasuk khidmat pemeriksaan kesihatan dan pergigian, ceramah agama dan motivasi.

"Turut diadakan beberapa aktiviti ramah mesra bersama penduduk dan riadah," kata kenyataan itu.

Program berkenaan dihadiri Kolonel Risik Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD), Kolonel Johari Ismail dan Pegawai Memerintah 4 Rejimen Sempadan, Leftenan Kolonel Mohd Hisham Din.

Program itu antara usaha mendekati dan mengeratkan hubungan kerjasama dengan masyarakat setempat bersama warga tentera.

"Pelaksanaan PJM mempamerkan komitmen tinggi di samping berupaya meningkatkan kredibiliti organisasi Tentera Darat di mata rakyat," menurut kenyataan itu dan ia antara pelan tindakan 4 Divisyen untuk memenuhi keperluan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 serta Objektif Ketiga Direktif Perisikan dan Keselamatan.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 1:51pm
d