mutakhir

Ribut 15 minit rosakkan 150 rumah

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: "Ia situasi yang menakutkan. Deruan angin yang kuat disusuli ribut dan hujan lebat turut menerbangkan bumbung rumah saya," kata Fadilah Othman, 36, salah seorang penduduk Felda Lui Timur yang menjadi mangsa dalam kejadian ribut petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan keluarga berada di rumah jiran berhampiran kerana membantu dalam persiapan majlis kenduri perkahwinan yang dilangsungkan hari ini.

"Pada jam 5.45 petang hujan lebat dan angin kuat disusuli ribut petir berlaku sebelum saya dan beberapa penduduk masuk ke dalam rumah jiran berkenaan.

"Kereta milik bapa turut dihempap pokok yang tumbang manakala kabel elektrik yang disambung daripada tiang ke rumah turut terputus," katanya.

"Saya dan keluarga memang terkejut apabila melihat keadaan rumah. Sebahagian atap rumah diterbangkan angin dan selepas itu tidak berani masuk ke dalam rumah berikutan kabel elektrik terputus. Biarpun mengalami kerugian dianggarkan RM5,000 saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga yang cedera dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu bagi penduduk yang mahu dikenali Abu, 52 berkata ini adalah kejadian ribut paling teruk dialami penduduk kampung.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan ahli keluarga sedang berehat di ruang tamu sebelum melihat beberapa keping atap ruang tamu rumahnya diterbangkan ribut.

"Dua cucu dan anak menangis ketakutan melihat kejadian itu, saya pula hanya sempat melaungkan Allahuakbar kerana tidak sangka mengalami kejadian kali kedua," katanya.

Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA Lui Timur, Azizah Sharif berkata ketika kejadian dia dan suami berada di dalam rumah.

"Berdasarkan cerita jiran yang melihat, angin berkenaan berpusing-pusing sebelum memusnahkan apa sahaja yang berada di laluan dan ia berlaku selama 15 minit," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan Bakri Sawir turut melawat mangsa kejadian ribut.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO FELDA Lui Timur Mohd Fazlee Mohd Sadri berkata sebanyak 150 rumah penduduk dikenali pasti mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lui Mohd Razi Mohd Ali ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menggerakkan agensi berkaitan bagi membantu penduduk terjejas.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 2:50pm
d